Cara Membangunkan Produk Baharu Di Pasaran.

 


Cara membangunkan produk baharu adalah berbeza-beza mengikut sifat dan permintaan kepada sesuatu produk. Idea yang dicadangkan ini menyentuh cara membangunkan produk baharu secara umum:-

1. Apa itu produk baharu?

2. Apa kepentingan produk baharu?

3. Bagaimana syarikat boleh mendapatkan produk-produk baru?

4. Apakah kategori produk baharu?

5. Apakah langkah-langkah pembangunan produk baharu?

6. Apakah sebab-sebab kegagalan produk baru?

 

1. Apa itu produk baharu?

Produk baharu ialah suatu produk sama ada barangan atau perkhidmatan, terbahagi kepada dua situasi:-

a. Baharu kepada pasaran.

b. Baharu kepada syarikat yang mengeluarkannya.

 

‘Baharu kepada pasaran’ bererti produk belum wujud lagi di pasaran. Saya percaya ramai orang yang ada idea untuk mencipta produk yang baharu ini. Tapi kebanyakan mereka tak tahu nak cara nak menciptanya. Akhirnya, mereka akan abaikan saja atau beranggapan memang ‘mustahil’ boleh diwujudkan dipasaran.

Sebagai contohnya: Pada tahun 1970-an dulu, saya masih bersekolah. Saya ada terfikir bagus juga kalau ramai yang memiliki walkie talkie seperti yang anggota Polis dan tentera gunakan. Pada ketika itu, tak terfikir sama sekali hampir setiap orang dewasa di negara kita akan memiliki telefon bimbit mulai tahun 2000. Pada masa itu hanya ada 2 jenis telefon, iaitu telefon Telekom berwayar di rumah dan telefon awan di pondok telefon di tepi jalan. Sekarang dah tahun 2020, bukan saja telefon bimbit, tetapi telah wujud smartfon berinternet dengan pelbagai applikasi di dalamnya. Syarikat pembuat telefon bermula dari syarikat bersaiz kecil telah berkembang menjadi syarikat yang besar dengan pasaran ke seluruh duni. Lihat betapa besar kesan mencipta produk baharu kepada dunia perniagaan dan pekerjaan. Bayangkan, andaikata salah satu syarikat pengeluar smartfon itu adalah milik anda?

Jenis produk baharu yang kedua adalah:

‘Baharu kepada syarikat yang mengeluarkannya’ bererti jenis produk yang nak dikeluarkan sudah berada di pasaran yang telah dikeluarkan oleh syarikat pesaing yang lain.

Sebagai contoh: produk Global System for Mobile (GSM) model Nokia 1011 ciptaan Nokia Corporation telah mula dijual dipasaran pada tahun 1992. Kemudian, syarikat Apple pula telah mencipta dan mengeluarkan smartfon pertamanya iPod pada tahun 2007. Diikuti pula pengeluaran oleh syarikat-syarikat lain seperti Samsung, Oppo, Vivo, Huawei, Xiaomi, dan bermacam-macam jenama smartfon lagi. Kalau anda mahu, suatu hari nanti, anda juga boleh mengeluarkan produk smartfon baharu berjenama milik anda sendiri untuk berada dipasaran. Ini tidak mustahil sekiranya anda usahakannya bersungguh-sungguh.

2. Apa kepentingan produk baharu?

Disenaraikan dua kepentingan produk baharu:-

a. Untuk pertumbuhan dan keuntungan syarikat.

b. Bagi mengganti produk yang lusuh.

Produk baru memerlukan pembuat mengenalpasti keperluan dan kemudian mengembangkan penyelesaian secara kreatif untuk menjadikan hidup lebih mudah, lebih selamat atau lebih menyeronokkan.

Penghasilan produk baru adalah penting bersesuaian dengan keadaan semasa kerana berlakunya perubahan citarasa pengguna dan kemajuan teknologi. Produk yang telah lama dipasaran perlu pengubahsuaian. Jika tidak, produk tersebut akan menjadi usang. Ianya akan memberi kesan terhadap jualan dan keuntungan organisasi.

Produk baru yang inovatif adalah berisiko kerana anda tidak tahu bagaimana pengguna akan bertindak balas terhadap sesuatu yang baru. Inilah sebabnya mengapa membangunkan produk dengan betul adalah penting.

3. Bagaimana syarikat boleh mendapatkan produk-produk baru?

a. Membeli syarikat yang menghasilkan produk baru tersebut.

            b. Membeli paten atau lesen untuk menghasilkan produk orang lain.

c. Melalui penyelidikan dan pembangunan (R&D) syarikat sendiri.

4. Apakah kategori produk baharu?

a. Produk baharu yang belum pernah wujud dipasaran.

b. Penambahan jenis produk yang dah ada dipasaran tetapi ciri-ciri produknya sedikit berbeza. Contohnya: Dah ada cendol pulut, dan cendol durian. Anda juallah cendol cempedak pulak.

c. Pembaikan produk sedia ada. Modifikasi atau tambahbaik produk yang sedia ada dan dilancarkan  semula sebagai produk baharu yang ada ciri-ciri unik pada produk tersebut. Contohnya: Dah ada pusat-pusat tuisyen di dalam bilik darjah, atau datang ke rumah. Anda buatlah pusat tuisyen secara online menggunakan applikasi Zoom atau video conference. Cikgu mengajar dan berbincang dengan pelajarnya di depan komputer di rumah saja. Yang bayar yuran akan menerima Meeting ID, Password dan jadual pembelajarannya.

d. Produk reposisi. Ada produk yang disasarkan kepada pasaran atau segmen pasaran yang baru. Contoh yang dah ada: Makanan Shushi enak, tapi hanya dijual di negara Jepun. Diandaikan tiada kedai yang menjual shushi di Malaysia. Apabila anda berjaya belajar membuat shushi yang enak sama ada dari orang Jepun atau melalui resepinya, anda bukalah kedai makanan shushi di Kuala Lumpur pula.

e. Produk harga rendah. Produk yang menyediakan prestasi serupa dangan produk pesaing dengan harga yang lebih rendah. Contohnya:  Upah tukar minyak enjin kereta dan oil filter di bengkel pada masa ini ialah RM20. Kalau anda mengenakan upah RM10 untuk tugasan yang sama, akan lebih ramai pelanggan yang akan buat servis enjin kereta mereka di bengkel anda.

 

5. Apakah langkah-langkah pembangunan produk baharu?

a. Mewujudkan pasukan projek produk baharu.

Setiap produk baru yang berpotensi memerlukan pasukan pembangunan khusus. Anda perlu menyertakan orang dengan pelbagai kemahiran.

Sebagai contoh: pakar teknikal, pemasaran, pembeli bahan mentah dan komponen, dan pengedaran produk. Semua ahli pasukan perlu memahami objektif perniagaan syarikat.

b. Penjanaan idea-idea.

Carian sistematik untuk idea-idea produk baharu melalui:-

                a. Sumber dalaman – merujuk kepada penyelidikan dan pembangunan syarikat sendiri.

                b. Sumber luaran – merujuk kepada di luar syarikat seperti pelanggan, pesaing, pengedar,

                    pembekal, dan firma-firma rekabentuk di luar.

c. Membangunkan idea.

Mempertimbangkan spesifikasi menarik permintaan pelanggan. Mengkaji idea-idea  produk baharu untuk memilih yang terbaik dan mengugurkan yang kurang berpotensi secepat mungkin. Contohnya: reka bentuk, kemudahan penggunaan dan manfaat prestasinya.

d. Pembangunan dan pengujian konsep.

Buat perancangan, mula membina prototaip, label menjelaskan pelbagai ciri dan fungsi. Ketahui apa yang orang suka dan tidak suka tentang produk yang sedia ada. Pastikan pelanggan akan memilih produk atau perkhidmatan anda dan bukannya pesaing, baik sekarang dan pada masa akan datang

e. Pelaburan dan kawalan kos.

Rancang sebarang pelaburan dengan teliti dan mengawal kos anda dengan ketat. Ingat bahawa kos anda termasuk perjawatan, bahan, teknologi, reka bentuk produk, penyelidikan pasaran, prototaip dan kos overhed tambahan. Mencari sokongan pelbagai geran kerajaan dan rebat cukai boleh didapati untuk penyelidikan dan pembangunan produk baru.

f. Komersialisasi.

Buat keputusan ke atas:-

                a. Masa yang sesuai untuk memasarkan produk.

                b. Tempat untuk memasarkan produk seperti lokasi berdekatan, daerah, negeri, atau

         antarabangsa.

                c. Membangunkan pelan pemasaran.

 

6. Apakah sebab-sebab kegagalan produk baru?

a. Harga yang terlalu tinggi- “Ohh... mahal sangatlah. Tak mampulah nak beli”.

b. Rekabentuk yang lemah- “Kereta model baru tu macam bentuk keranda mayat lah...”

c. Pemposisian yang tidak betul- “Menjual buku edisi terbaru sekolah rendah di sekolah menengah”.

d. Pemasaran yang salah- “Hanya tunggu pelanggan datang membeli.Tak pernah visit pelanggan?”

e. Promosi tidak berkesan- Hanya membuat promosi melalui roadshow sahaja.

f. Pengaruh pengurusan- Kurang ilmu perniagaan, hanya nak menjual produk sahaja.

g. Kos pembangunan yang tinggi- Nak beli bahan mentah dan mesin tak cukup sumber pembiayaaan.

h. Persaingan- Tak nak usaha lebih, takut kepada pesaing, membiarkan pesaing terus maju.

Baiklah. Setakat ini saja yang dapat saya kongsikan idea ‘Cara Membangunkan Produk Baharu Di Pasaran’.

Jika anda mendapati diri anda bergelut untuk memikirkan semuanya ini, ingatlah bahawa setiap produk yang datang sebelum anda, terpaksa mengatasi cabaran yang sama.

Sila klik link di bawah inni untuk melihat video sepenuhnya:

https://www.youtube.com/watch?v=w52_hjumRA8

Comments